Jenis-Jenis Braces Dan Perbezaan Antaranya

Memiliki senyuman yang cantik merupakan impian bagi ramai orang. Namun, sesuatu yang sering dianggap remeh seperti gigi yang tidak tersusun rapi sebenarnya boleh memberi impak besar terhadap keyakinan diri seseorang dan kesihatan mulut secara keseluruhan.
Jika anda mengalami masalah ini, jangan risau — anda bukan keseorangan.
Masalah gigi yang tidak tersusun rapi bukan sesuatu yang jarang berlaku, malah ia adalah amat biasa. Kajian menunjukkan bahawa sekitar 39% remaja mengalami masalah gigi yang tidak tersusun, manakala peratusannya meningkat sehingga 93% dalam kalangan kanak-kanak.
Berita baiknya, keadaan ini boleh dirawat dengan mudah. Salah satu kaedah paling berkesan untuk membetulkan susunan gigi ialah melalui pemakaian braces (pendakap gigi).
Kini, terdapat pelbagai jenis braces di pasaran, daripada braces logam tradisional hingga ke versi moden yang hampir tidak kelihatan. Sama ada anda baru mempertimbangkan rawatan ortodontik atau sedang mencari pilihan terbaik — panduan ini akan membantu anda membuat keputusan dengan lebih yakin.

Isu Pergigian yang Boleh Diselesaikan dengan Braces Gigi

Braces gigi boleh dipakai oleh hampir semua peringkat umur, tetapi terdapat beberapa jenis keadaan gigi yang akan mendapat manfaat paling besar daripada rawatan ini.
Dengan pemakaian braces, gigi akan digerakkan secara beransur-ansur ke posisi yang lebih ideal dan seimbang, menjadikan susunan gigi bukan sahaja lebih cantik, tetapi juga lebih mudah dijaga dari segi kebersihan dan fungsi harian.

1. Gigi Bertindih (Crowded Teeth)

Gigi bertindih berlaku apabila ruang dalam rahang tidak mencukupi untuk semua gigi tumbuh dengan teratur. Akibatnya, gigi akan tumbuh senget, bertindih, atau saling menekan antara satu sama lain. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan susunan gigi, tetapi juga menyukarkan proses pembersihan harian.
Apabila celah antara gigi terlalu sempit, sisa makanan dan plak mudah terperangkap. Perkara ini meningkatkan risiko masalah seperti kaviti, karang gigi, dan penyakit gusi.
Dalam jangka masa panjang, gigi bertindih juga boleh menyebabkan kehausan gigi yang tidak sekata, tekanan pada sendi rahang, serta kerosakan gigi yang lebih serius.

2. Gigi Jarang (Gapped Teeth)

Gigi jarang berlaku apabila terdapat ruang ketara antara satu gigi dengan gigi yang lain. Keadaan ini biasanya berpunca daripada kehilangan gigi, saiz gigi yang lebih kecil daripada saiz rahang, atau tabiat seperti menolak gigi dengan lidah.
Selain menjejaskan penampilan senyuman, gigi jarang juga boleh menyebabkan sisa makanan mudah terperangkap di antara ruang tersebut. Jika tidak dibersihkan dengan betul, ia boleh mengakibatkan pembentukan plak, kaviti, dan masalah gusi dalam jangka masa panjang.

3. Gigi Jongang (Overjet)

Gigi jongang berlaku apabila gigi atas menonjol terlalu ke depan berbanding gigi bawah. Keadaan ini biasanya berpunca daripada pertumbuhan rahang yang tidak seimbang atau tabiat tertentu semasa kecil, seperti menghisap jari atau penggunaan puting terlalu lama.
Gigi jongang juga boleh menyebabkan kesukaran dalam pertuturan dan meningkatkan risiko kecederaan pada gigi depan, terutamanya jika terjatuh atau terhantuk.

4. Gigitan Terbuka (Open Bite)

Gigitan terbuka berlaku apabila gigi atas dan bawah tidak bertemu atau bersentuhan apabila mulut ditutup sepenuhnya. Dalam banyak kes, ruang terbuka dapat dilihat di bahagian depan atau sisi mulut.
Keadaan ini sering dikaitkan dengan tabiat seperti menolak gigi dengan lidah (tongue thrusting), menghisap ibu jari, atau penggunaan puting secara berpanjangan.
Masalah ini juga boleh mengganggu fungsi asas seperti mengunyah makanan dan menyebut perkataan dengan jelas. Dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan ketegangan pada otot rahang dan kesukaran dalam penjajaran gigi yang betul.

5. Gigitan Dalam (Deep Bite)

Gigitan dalam berlaku apabila gigi atas menutupi hampir keseluruhan gigi bawah semasa mulut menggigit. Dalam sesetengah kes, gigi bawah mungkin langsung tidak kelihatan apabila mulut tertutup.
Keadaan ini sering berpunca daripada pertumbuhan rahang yang tidak seimbang atau tabiat menggigit gigi secara berterusan.
Jika tidak dirawat, gigitan dalam boleh menyebabkan kehausan gigi yang tidak sekata, kerosakan pada gusi dan tisu lembut di dalam mulut, serta tekanan berlebihan pada sendi rahang (TMJ), yang boleh membawa kepada kesakitan kronik dan sakit kepala.

6. Gigitan Songsang (Underbite)

Gigitan songsang berlaku apabila gigi bawah lebih menonjol ke hadapan berbanding gigi atas. Dalam keadaan normal, gigi atas sepatutnya sedikit menutupi gigi bawah apabila mulut ditutup.
Underbite lazimnya berpunca daripada struktur rahang yang tidak seimbang. Contohnya, rahang bawah yang terlalu besar atau rahang atas yang terlalu kecil.
Keadaan ini boleh mengganggu fungsi mengunyah, menyebabkan ketegangan pada otot rahang, dan dalam kes yang lebih teruk, memberi kesan kepada sebutan perkataan dan pernafasan.

7. Gigi Bersilang (Crossbite)

Gigi bersilang berlaku apabila gigi atas dan bawah tidak bertemu dengan cara yang sepatutnya semasa menggigit. Dalam crossbite, sebahagian gigi atas berada di bahagian dalam gigi bawah, sama ada di bahagian depan, sisi, atau keseluruhan rahang.
Keadaan ini boleh berlaku pada satu gigi atau beberapa gigi, dan sering berpunca daripada faktor genetik, perkembangan rahang yang tidak seimbang, atau tabiat semasa kecil. Jika tidak dirawat, crossbite boleh menyebabkan gigi haus secara tidak sekata, tekanan pada rahang, dan risiko masalah sendi (TMJ).

8. Gigi Tumbuh Tak Teratur (Abnormal Eruption)

Gigi tumbuh tak teratur merujuk kepada keadaan di mana gigi kekal tumbuh di tempat yang tidak sepatutnya, sering kali di luar barisan gigi yang normal. Hal ini boleh berlaku disebabkan oleh gigi susu yang tidak tanggal pada waktunya, ruang rahang yang sempit, atau masalah genetik.
Keadaan ini boleh menyebabkan gigi lain terdorong keluar dari posisi asal, mengganggu susunan keseluruhan, serta menyukarkan penjagaan kebersihan mulut.

Ubah senyuman anda hari ini!

Ubah senyuman anda hari ini! Dari pemeriksaan biasa hingga rawatan ortodontik, Klinik Pergigian Yeo menyediakan pelbagai perkhidmatan pergigian untuk seisi keluarga.

Kelebihan Memakai Braces

Ramai yang menyangka braces hanya untuk mendapatkan senyuman yang cantik, tetapi sebenarnya faedahnya jauh lebih besar daripada itu.
  • Meningkatkan penjagaan kebersihan mulut
  • Mengurangkan risiko kaviti dan penyakit gusi
  • Membetulkan gigitan
  • Meningkatkan pertuturan
  • Mengurangkan kehausan gigi yang tidak sekata
  • Meningkatkan keyakinan diri

Jenis Braces Gigi

Braces kini bukan lagi satu bentuk rawatan yang hanya datang dalam satu jenis. Dengan kemajuan teknologi pergigian, terdapat pelbagai pilihan braces yang boleh disesuaikan mengikut keperluan, gaya hidup, dan bajet setiap individu.
Sama ada anda mencari pilihan yang lebih estetik, lebih selesa, atau lebih berkesan untuk membetulkan masalah gigi tertentu, penting untuk memahami perbezaan antara jenis-jenis braces yang ditawarkan.

1. Braces Logam Konvensional (Metal Braces)

Braces logam konvensional merupakan jenis braces yang paling biasa digunakan dan telah terbukti berkesan sejak sekian lama. Ia menggunakan bracket logam kecil yang dilekatkan pada gigi dan dihubungkan dengan wayar ortodontik.
Kelebihan:
  • Paling tahan lama dan sangat berkesan untuk membetulkan pelbagai jenis masalah ortodontik seperti gigi bertindih dan gigi jarang.
  • Merupakan pilihan paling berpatutan dari segi kos (RM3,500 and RM10,000).
  • Mempunyai pilihan warna getah (elastik) yang menarik, sesuai untuk remaja atau mereka yang mahu tampil ceria.
Kekurangan:
  • Paling ketara dari segi penampilan kerana material logam yang jelas kelihatan.
  • Boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada awal pemakaian.
  • Tempoh pemakaian biasanya antara 18 hingga 36 bulan.
  • Makanan keras dan melekit perlu dielakkan, seperti kacang atau gula-gula getah kerana ia boleh merosakkan bracket dan wayar.

2. Braces Seramik

Braces seramik berfungsi hampir sama seperti braces logam, tetapi bracket yang digunakan diperbuat daripada bahan seramik berwarna cerah atau seakan warna gigi.
Kelebihan:
  • Penampilan lebih estetik dan kurang ketara kerana bracket berwarna cerah yang hampir menyamai warna gigi.
  • Memberi hasil rawatan yang setanding dengan braces logam.
  • Sesuai untuk merawat pelbagai masalah ortodontik seperti gigitan tidak selaras dan gigi yang bersesak.
Kekurangan:
  • Lebih rapuh dan mudah retak jika tidak dijaga dengan betul.
  • Bracket boleh berubah warna jika terdedah kepada makanan atau minuman berpigmen seperti kopi.
  • Kos lebih tinggi berbanding braces logam (RM7,000 – RM11,000).
  • Tempoh pemakaian biasanya antara 18 hingga 36 bulan.
  • Elakkan makanan keras kerana bracket lebih mudah retak.

3. Braces Self-Ligating

Braces self-ligating seperti Damon Braces merupakan inovasi daripada braces konvensional yang tidak menggunakan getah elastik untuk menahan wayar menggunakan mekanisme gelongsor.
Sebaliknya, ia menggunakan klip khas atau sistem pintu kecil pada bracket untuk mengikat wayar, menjadi pergerakan gigi lebih efisien dan selesa.

Kelebihan:

  • Memberikan kurang geseran dan tekanan pada gigi.
  • Lebih mudah dibersihkan dan membantu mengekalkan tahap kebersihan mulut.
  • Lawatan ke klinik lebih jarang kerana tidak memerlukan pelarasan getah seperti braces konvensional.
  • Sesuai untuk merawat kes ortodontik yang kompleks dengan lebih cepat dan berkesan.
Kekurangan:
  • Tetap kelihatan disebabkan menggunakan bracket logam.
  • Kos lebih tinggi (RM7,000 – RM12,000) bergantung kepada jenis dan jenama.
  • Tempoh pemakaian biasanya antara 18 hingga 30 bulan.
  • Berhati-hati semasa makan makanan keras, melekit atau rangup seperti kacang dan ais batu.
  • Kemungkinan berlaku kerengsaan pada bibir dan pipi.

4. Braces Lingual

Braces lingual merupakan satu lagi jenis rawatan ortodontik di mana bracket dan wayar dipasang di bahagian belakang gigi, menjadikannya hampir tidak kelihatan dari luar. Ia menawarkan tahap estetik yang sangat tinggi kerana tersembunyi sepenuhnya daripada pandangan.
Kelebihan:
  • Tidak kelihatan langsung dari luar.
  • Memberi hasil rawatan yang setanding dengan braces konvensional dari segi keberkesanan.
  • Direka khas secara individu, memberikan kesesuaian yang tepat dan selesa mengikut bentuk gigi.
Kekurangan:
  • Lebih sukar dibersihkan disebabkan kedudukannya di bahagian belakang gigi.
  • Boleh menyebabkan ketidakselesaan pada lidah</b<.
  • Tempoh penyesuaian lebih lama berbanding jenis braces lain.
  • Tempoh rawatan sekitar 18 hingga 36 bulan.
  • Kos rawatan tinggi (RM12,000 – RM25,000).
  • Makanan keras atau melekit tetap perlu dielakkan bagi mengelakkan kerosakan pada struktur bracket dan wayar.
  • Boleh menjejaskan pertuturan.

5. Clear Aligners

Clear aligners seperti Invisalign merupakan pilihan moden yang menggunakan pelapik plastik lutsinar yang direka khas untuk menggerakkan gigi secara beransur-ansur.
Kelebihan:
  • Hampir tidak kelihatan.
  • Boleh ditanggalkan semasa makan dan memberus gigi.
  • Lebih fleksibel dan selesa dipakai.
  • Rawatan boleh disimulasikan secara digital terlebih dahulu untuk melihat hasil akhir.
  • Tempoh rawatan sekitar 6 hingga 12 bulan.
  • Tiada sekatan makanan kerana boleh ditanggalkan ketika makan.
Kekurangan:
  • Perlu disiplin tinggi, mesti dipakai sekurang-kurangnya 20–22 jam sehari untuk keberkesanan rawatan.
  • Kurang sesuai untuk kes ortodontik kompleks.
  • Kos rawatan lebih tinggi (RM5,000 – RM20,000).

Perbandingan Jenis-Jenis Braces Gigi di Malaysia

Untuk membantu anda membuat keputusan yang lebih tepat, berikut ialah jadual perbandingan ringkas antara lima jenis braces yang ditawarkan di Malaysia.
Jenis Braces Penampilan Keselesaan Keberkesanan Kos Anggaran (RM) Tempoh Rawat
Braces Logam Paling ketara Tidak selesa Sangat berkesan 3,500 – 10,000 18 – 36 bulan
Braces Seramik Lebih estetik Lebih selesa Berkesan 7,000 – 11,000 18 – 36 bulan
Braces Self-Ligating Masih kelihatan Lebih selesa Berkesan 7,000 – 12,000 18 – 30 bulan
Braces Lingual Langsung tidak kelihatan Kurang selesa Sangat berkesan 12,000 – 25,000 8 – 36 bulan
Clear Aligners Hampir tidak kelihatan Sangat selesa Berkesan 5,000 – 20,000 16 – 12 bulan

Tempah Temujanji Anda Sekarang

Klinik Pergigian Yeo menawarkan rawatan pergigian profesional di Jitra dengan harga berpatutan dan perkhidmatan mesra pelanggan.

Tips Penjagaan Gigi bagi Pemakai Braces Gigi

Menjaga kebersihan mulut semasa memakai braces adalah sangat penting untuk mengelakkan masalah seperti kaviti, karang gigi, nafas berbau dan keradangan gusi. Oleh kerana braces mempunyai banyak permukaan kecil dan sudut yang sukar dicapai, rutin penjagaan harian perlu lebih teliti dan konsisten.

1. Berus Gigi

Salah satu cara paling asas tetapi berkesan yang sering disarankan kepada pemakai braces ialah memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutamanya selepas makan.
Hal ini penting bagi mengelakkan sisa makanan terkumpul di sekitar bracket dan wayar yang boleh menyebabkan pembentukan plak dan masalah gusi.
Cara memberus gigi dengan teknik betul:
  • Gunakan berus gigi yang lembut (soft bristle) atau berus khas untuk pemakai braces bagi mengurangkan risiko luka pada gusi.
  • Ketika memberus, pastikan anda memegang berus pada sudut 45 darjah dan fokus pada garis gusi serta kawasan sekeliling bracket.
  • Untuk pembersihan yang lebih menyeluruh, anda juga boleh menggunakan berus interdental untuk mencapai celah-celah antara bracket dan wayar yang sukar dicapai oleh berus biasa.

2. Flos Gigi

Dalam rutin penjagaan mulut, penggunaan flos gigi sering diabaikan, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, ia sebenarnya sangat penting bagi pemakai braces kerana memberus sahaja tidak mencukupi untuk menanggalkan plak dan sisa makanan yang terperangkap di celah-celah gigi.
Tanpa penggunaan flos yang betul, risiko kaviti dan penyakit gusi boleh meningkat dengan ketara, terutamanya apabila braces menyukarkan akses ke kawasan tertentu dalam mulut.
Cara flos gigi dengan teknik betul:
  • Gunakan benang flos bersama floss threader atau alat bantu flos khas untuk braces bagi memudahkan flos di bawah wayar ortodontik.
  • Lakukan dengan perlahan dan berhati-hati di sepanjang garis gusi.
  • Pastikan tidak menarik benang terlalu kuat untuk mengelakkan kecederaan pada gusi.
  • Disarankan untuk flos sekurang-kurangnya sekali sehari.

3. Bilas Mulut

Membilas mulut dengan ubat kumur atau air garam sangat digalakkan sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan mulut bagi pemakai braces. Ia membantu membersihkan kawasan yang sukar dicapai oleh berus atau flos, serta membunuh bakteria yang boleh menyebabkan nafas berbau dan penyakit gusi.
Cara bilas mulut dengan teknik betul:
  • Gunakan ubat kumur yang diformulasi khas untuk menjaga kesihatan gusi dan mencegah pembentukan plak.
  • Sekiranya, anda tidak mempunyai ubat kumur, bilas mulut dengan air garam suam untuk membantu mengurangkan keradangan, meredakan ulser, dan mempercepatkan penyembuhan tisu mulut yang teriritasi akibat bracket atau wayar.
  • Bilas mulut sekurang-kurangnya sekali sehari, terutamanya selepas makan malam atau sebelum tidur.

4. Penyesuaian Pemakanan

Pemakaian braces memerlukan anda menyesuaikan jenis makanan yang diambil setiap hari. Perkara ini penting untuk mengelakkan kerosakan pada bracket dan wayar, serta memastikan proses rawatan tidak terganggu.
Makanan yang perlu dielakkan:
  • Makanan keras seperti kacang, ais batu, dan popcorn.
  • Makanan melekit seperti toffee, gula-gula getah, dan karamel.
  • Buah atau sayur keras seperti epal dan lobak
Makanan yang perlu dielakkan:
  • Makanan lembut seperti bubur, sup, dan pasta.
  • Buah-buahan yang dipotong kecil atau dilembutkan seperti pisang dan tembikai.
  • Makanan sejuk seperti yogurt atau aiskrim.

Amalkan juga mengunyah dengan perlahan dan berhati-hati, terutamanya selepas pemasangan atau pelarasan braces, kerana gigi biasanya akan berasa lebih sensitif.

Senyuman Sempurna Bermula dengan Gigi Tersusun!

Di Klinik Pergigian Yeo, kami memahami betapa pentingnya kesihatan mulut anda. Pasukan profesional pergigian kami yang berpengalaman bertekad untuk memberikan penjagaan yang terbaik untuk rawatan braces gigi anda.
Susunan gigi yang teratur bukan sahaja mencantikkan penampilan, tetapi juga menyumbang kepada kesihatan mulut jangka panjang. Jangan tunggu sehingga masalah menjadi lebih serius.
Hubungi Klinik Pergigian Yeo hari ini untuk menempah temujanji anda dan mulakan langkah ke arah senyuman yang lebih sihat dan yakin!

Soalan Lazim

Adakah Memakai Braces Menyakitkan?

Memasang braces tidak menyakitkan, kerana prosedur pemasangan tidak melibatkan sebarang suntikan atau pembedahan. Namun, selepas pemasangan atau setiap kali pelarasan dilakukan, anda mungkin akan berasa sedikit ketidakselesaan atau tekanan pada gigi.
Rasa sengal atau tegang ini biasanya:
  • Bermula beberapa jam selepas pemasangan
  • Bertahan selama 2–5 hari
  • Boleh dikurangkan dengan ubat tahan sakit ringan seperti paracetamol
  • Akan berkurang apabila mulut anda mula menyesuaikan diri dengan braces

Jika anda mengalami rasa sakit yang berpanjangan atau wayar mencucuk pipi atau lidah, segera hubungi klinik untuk pembetulan.

Apakah Had Umur untuk Memakai Braces?

Tiada had umur rasmi untuk memakai braces. Rawatan ortodontik sesuai untuk semua peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, atau dewasa.
Malah, semakin ramai individu berumur 30-an, 40-an, dan ke atas memilih untuk mendapatkan braces, sama ada atas faktor kesihatan, penampilan, atau keyakinan diri.

Bolehkah Saya Pakai Braces Jika Ada Gigi Yang Hilang?

Ya, anda masih boleh memakai braces walaupun anda mempunyai gigi yang hilang. Dalam banyak kes, rawatan ortodontik digunakan untuk merapatkan ruang gigi yang kosong, terutamanya jika kehilangan gigi telah menyebabkan gigi bersebelahan bergerak atau menjadi senget.
Ia juga membantu menyusun kedudukan gigi dengan betul terlebih dahulu sebelum pemasangan implan atau gigi palsu, agar hasil rawatan lebih stabil dan estetik.
Selain itu, braces boleh menghalang gigi lain daripada condong ke arah ruang kosong jika dibiarkan.

Table of Contents

Dapatkan Rawatan Pergigian Profesional di Klinik Pergigian Yeo Hari Ini!

Kami bersedia membantu keluarga anda dari kanak-kanak hingga warga emas dengan rawatan khas yang selamat, selesa, dan berkualiti tinggi.

Kepakaran Pergigian Lain-Lain

Ketahui jenis braces gigi, kelebihan, kos, cara penjagaan, dan jawapan kepada soalan-soalan lazim yang sering ditanya oleh pesakit braces untuk...
Jangan biarkan plak jadi musuh senyap mulut anda. Temui 6 cara terbaik dan terbukti berkesan untuk hilangkan plak gigi di...