Pernahkah anda mengalami kesakitan semasa mengunyah makanan, rasa sengal pada pipi, atau kesukaran membuka mulut secara tiba-tiba? Jika ya, kemungkinan besar anda sedang mengalami sakit gigi bongsu. Tapi jangan risau, anda bukan keseorangan.
Di Malaysia sahaja, dianggarkan sekitar 73.5% rakyat mengalami masalah berkaitan gigi bongsu.
Gigi bongsu atau wisdom tooth ialah geraham ketiga yang tumbuh di bahagian paling hujung rahang atas dan bawah. Ia biasanya mula tumbuh antara usia 17 hingga 25 tahun, menjadikannya set gigi terakhir yang muncul dalam hidup seseorang.
Walaupun ada individu yang tidak mengalami sebarang gejala, kebanyakan orang akan mengalami kesakitan, bengkak, atau ketidakselesaan yang boleh menjejaskan tidur, selera makan, dan rutin harian.
Jika anda sedang mengalami situasi ini, teruskan membaca. Dalam artikel ini, kami akan terangkan segala yang anda perlu tahu tentang sakit gigi bongsu, daripada simptom yang perlu diawasi hinggalah kepada pilihan rawatan dan langkah pencegahan yang dapat membantu anda kembali selesa.
Kenapa Gigi Bongsu Sakit?
Sakit gigi bongsu biasanya berlaku apabila gigi tersebut tidak tumbuh dengan sempurna disebabkan ruang dalam rahang yang tidak mencukupi. Berbanding gigi lain, gigi bongsu lebih cenderung tumbuh secara senget, terimpak, atau tersekat di bawah gusi.
Berikut antara punca utama sakit gigi bongsu:
1. Pertumbuhan Gigi Secara Terimpak (Impacted Tooth)
Gigi bongsu yang terimpak ialah gigi yang gagal menembusi permukaan gusi sepenuhnya. Ia mungkin tersekat dalam tulang rahang atau tumbuh pada sudut yang tidak normal, seperti ke arah gigi bersebelahan.
Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan pada gigi lain, kesakitan yang berpanjangan, serta kerosakan pada struktur gigi sekeliling.
2. Jangkitan pada Gusi (Pericoronitis)
Jika gigi bongsu hanya tumbuh separuh dan sebahagian lagi masih dilitupi gusi, kawasan ini mudah terperangkap dengan sisa makanan dan bakteria.
Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan pada gusi dikenali sebagai pericoronitis. Antara simptomnya termasuklah sakit berdenyut, bengkak, rasa tidak selesa ketika menelan, dan nafas berbau.
3. Keradangan Gusi (Gingivitis atau Periodontitis)
Tekanan atau jangkitan dari gigi bongsu yang tidak tumbuh sempurna boleh menyebabkan keradangan gusi di sekitarnya. Gusi menjadi merah, membengkak, dan mudah berdarah. Jika tidak dirawat, keradangan ini boleh merebak dan menjejaskan gigi lain.
Simptom Sakit Gigi Bongsu
Sakit gigi bongsu boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan tahap kesakitan. Gejala ini biasanya timbul apabila gigi bongsu tidak tumbuh dengan sempurna, atau apabila ia menyebabkan keradangan dan jangkitan di kawasan sekitarnya.
Jika anda sedang mengalaminya, berikut merupakan beberapa tanda dan simptom yang perlu diberi perhatian:
1. Bengkak pada Muka atau Pipi
Bengkak pada sebelah wajah, terutamanya di bahagian rahang belakang, merupakan petanda jelas bahawa gigi bongsu mungkin sedang menekan tisu sekeliling atau mengalami jangkitan.
2. Gusi Membengkak dan Kemerahan
Kawasan gusi di sekitar gigi bongsu sering menjadi merah, bengkak dan sensitif apabila gigi cuba menembusi permukaan gusi atau tersekat separuh jalan.
3. Sakit Rahang
Kesakitan pada rahang bawah atau atas, terutamanya di bahagian belakang, boleh berlaku apabila gigi bongsu menolak gigi lain atau tumbuh pada sudut yang tidak betul.
4. Mulut Berbau Busuk
Bakteria dan sisa makanan yang terperangkap di sekitar gigi bongsu yang separuh tumbuh boleh menyebabkan mulut berbau tidak menyenangkan, walaupun selepas memberus gigi.
5. Sukar atau Sakit Ketika Membuka Mulut
Jika kawasan sekitar gigi bongsu mengalami keradangan atau jangkitan, anda mungkin rasa tegang atau sakit ketika membuka mulut sepenuhnya, termasuk ketika bercakap atau mengunyah.
Komplikasi Akibat Sakit Gigi Bongsu Yang Tidak Dirawat
Sakit gigi bongsu bukan sekadar gangguan sementara. Jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan, ia boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan mulut yang lebih serius.
Berikut merupakan beberapa komplikasi yang biasa berlaku akibat sakit gigi bongsu yang tidak dirawat:
1. Kerosakan pada Gigi Bersebelahan
Gigi bongsu yang tumbuh pada sudut yang salah boleh menekan gigi geraham kedua di sebelahnya. Tekanan ini boleh menyebabkan gigi bersebelahan retak, kehilangan struktur, atau terbentuknya kaviti tersembunyi yang sukar dikesan pada peringkat awal.
Jika gigi bongsu mengalami jangkitan atau kerosakan, gigi sekitarnya juga berisiko untuk turut terjejas.
2. Penyakit Gusi
Kawasan gigi bongsu yang sukar dicapai semasa memberus sering menjadi tempat penumpukan plak dan bakteria. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis, yang menyebabkan gusi bengkak, berdarah, dan semakin surut.
Jika tidak dirawat, penyakit gusi ini bukan sahaja menjejaskan mulut, tetapi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan tubuh secara keseluruhan.
3. Jangkitan Bakteria pada Mulut
Gigi bongsu yang tidak tumbuh sepenuhnya boleh menyebabkan kawasan sekitarnya mudah dijangkiti. Sisa makanan dan bakteria sering terkumpul di bawah lipatan gusi yang melitupi gigi, menyebabkan bengkak, kesakitan, dan dalam sesetengah kes, penghasilan nanah.
Jika dibiarkan, jangkitan ini boleh merebak ke bahagian lain dalam mulut atau bahkan ke tisu muka. Oleh kerana gigi ini sukar dibersihkan dengan berus gigi atau flos, risiko jangkitan adalah tinggi dan dalam banyak kes, pencabutan gigi bongsu adalah langkah terbaik untuk mengelakkan komplikasi lanjut.
4. Karies dan Pembentukan Lubang
Disebabkan sukar dibersihkan, gigi bongsu lebih mudah mengalami kerosakan awal seperti kaviti. Masalah ini boleh menjadi lebih rumit jika dibiarkan berlarutan, terutamanya apabila jangkitan atau pereputan berlaku pada gigi bongsu itu sendiri.
Dalam sesetengah kes, kaviti juga boleh terbentuk pada gigi bersebelahan, terutamanya jika kedudukannya terlalu rapat. Pemeriksaan awal dan rawatan segera amat penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
5. Jangkitan dan Peradangan(Pericoronitis)
Jangkitan dan peradangan, atau dikenali sebagai pericoronitis, ialah keradangan pada tisu gusi di sekeliling gigi bongsu yang separuh tumbuh. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit berdenyut, rasa tidak selesa ketika menelan, nafas berbau, dan dalam kes yang lebih serius, demam serta pembengkakan kelenjar.
6. Pembentukan Sista (Cyst)
Gigi bongsu yang terimpak boleh menyebabkan terbentuknya kantung berisi cecair (sista) di dalam tulang rahang. Jika tidak dirawat, sista ini boleh merosakkan struktur tulang, gigi bersebelahan, dan dalam kes yang jarang berlaku, berkembang menjadi tumor jinak.
Keadaan ini mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tisu atau sebahagian tulang rahang yang terjejas.
7. Ulser Mulut
Geseran berterusan antara gigi bongsu yang tumbuh tidak sempurna dengan tisu lembut di dalam mulut, seperti pipi bahagian dalam, boleh menyebabkan terbentuknya ulser atau luka kecil yang menyakitkan.
Walaupun ulser ini lazimnya akan sembuh dengan sendirinya, ia boleh berulang dan mengganggu jika gigi bongsu tidak dirawat atau dibuang.
Braces membantu membetulkan susunan gigi agar lebih teratur dan sihat. Kini, terdapat pelbagai jenis braces yang boleh dipilih mengikut keperluan dan kehendak anda. Baca lanjut tentang jenis-jenis braces dan pilih yang sesuai untuk anda.
Rawatan Terbaik untuk Sakit Gigi Bongsu
Rawatan sakit gigi bongsu bergantung kepada tahap kesakitan dan punca masalah. Jika sakit baru bermula atau masih ringan, terdapat beberapa langkah awal yang boleh dilakukan di rumah untuk melegakan ketidakselesaan.
Namun, jika kesakitan berpanjangan, bertambah teruk, atau disertai dengan bengkak dan jangkitan rawatan profesional oleh doktor gigi adalah sangat disarankan.
Cara Melegakan Sakit Gigi Bongsu dengan Cepat di Rumah
1. Berkumur dengan Air Garam Suam
Air garam ialah antiseptik semula jadi yang murah mudah disediakan, dan berkesan sebagai rawatan awal di rumah. Ia membantu membasmi bakteria, mengurangkan keradangan, serta mempercepatkan penyembuhan tisu gusi yang teriritasi.
Selain itu, ia juga berkesan untuk mengurangkan bengkak kecil dan mencegah jangkitan daripada menjadi lebih teruk.
Cara Penyediaan:
- Campurkan ½ sudu teh garam ke dalam segelas air suam.
- Berkumur selama 30 saat, kemudian luahkan..
- Ulang sebanyak 3 hingga 4 kali sehari, terutamanya selepas makan dan sebelum tidur.
2. Tuam Ais di Bahagian Luar Pipi
Tuaman sejuk boleh membantu mengecutkan salur darah di kawasan bengkak, sekaligus mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Ia sangat membantu terutamanya jika gigi bongsu menyebabkan pembengkakan tisu lembut di sekitarnya.
Cara Penyediaan:
- Balut beberapa ketul ais dalam kain bersih
- Tuamkan di bahagian luar pipi selama 15–20 minit setiap sesi, beberapa kali sehari.
3. Pengambilan Ubat Tahan Sakit (OTC)
Ubat tahan sakit seperti paracetamol (Panadol) atau ibuprofen boleh diambil untuk mengawal kesakitan dan mengurangkan keradangan. Ibuprofen juga mempunyai kesan anti-radang yang menjadikannya pilihan sesuai untuk sakit gusi bengkak.
Cara Pengambilan:
- Ikut dos yang dinyatakan pada label atau yang disarankan oleh ahli farmasi atau doktor gigi.
- Jangan ambil melebihi dos harian maksimum, walaupun sakit tidak reda.
- Elakkan pengambilan berterusan melebihi 3 hari tanpa nasihat pakar.
4. Gunakan Ubat Antiseptik Topikal
Gel antiseptik seperti yang mengandungi chlorhexidine (antibakteria) atau benzocaine (penahan sakit tempatan) boleh disapu terus pada kawasan gusi yang sakit.
Gel ini membantu melegakan sakit serta membunuh kuman di kawasan yang terjejas. Sapuan boleh dilakukan beberapa kali sehari, terutamanya sebelum tidur dan selepas makan, tetapi perlu dielakkan daripada ditelan.
Cara Penggunaan:
- Cuci tangan sebelum dan selepas sapuan.
- Gunakan putik kapas atau jari bersih untuk menyapu gel pada kawasan gusi yang terjejas
- Sapukan 2 hingga 3 kali sehari, terutamanya selepas makan dan sebelum tidur.
- Elakkan makan, minum, atau menelan air liur berlebihan selama beberapa minit selepas sapuan agar gel kekal di tempat rawatan.
Rawatan Profesional di Klinik Gigi
1. Cabutan Gigi Bongsu
Gigi bongsu yang terimpak, tumbuh senget, atau sering menyebabkan jangkitan biasanya perlu dicabut. Cabutan boleh dilakukan secara biasa atau melalui pembedahan kecil jika gigi berada dalam kedudukan sukar.
Tujuan utama:
- Menghapuskan sumber kesakitan dan jangkitan
- Mencegah kerosakan pada gigi bersebelahan
- Mengelakkan pembentukan sista, ulser, atau komplikasi lain
2. Pembersihan Gigi Menyeluruh (Deep Cleaning)


Dalam kes di mana kawasan sekitar gigi bongsu dipenuhi plak tebal, keradangan gusi, atau bakteria, doktor gigi mungkin akan melakukan pembersihan mendalam untuk membuang kotoran dan bakteria di celah gusi.
Tujuan utama:
- Mengurangkan radang dan bengkak
- Membersihkan poket gusi yang dalam dan sukar dicapai
- Menurunkan risiko pericoronitis atau penyakit gusi lanjut
3. Preskripsi Ubat Antibiotik
Jika terdapat tanda-tanda jangkitan seperti nanah, demam, atau keradangan teruk (contohnya pericoronitis), doktor akan memberikan antibiotik oral sebelum atau selepas prosedur.
Tujuan utama:
- Mengawal penyebaran bakteria
- Mengurangkan jangkitan akut sebelum cabutan dilakukan
- Mempercepatkan proses penyembuhan
Merancang untuk dapatkan rawatan gigi bongsu?
Selesaikan masalah gigi bongsu anda bersama pasukan berpengalaman di Klinik Pergigian Yeo.
Lawati Klinik Pergigian Yeo untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh doktor yang prihatin.
Langkah Pencegahan Sakit Gigi Bongsu
Walaupun tidak semua orang mengalami masalah ketika gigi bongsu tumbuh, ramai yang berdepan dengan rasa tidak selesa atau komplikasi jika tidak mengambil langkah pencegahan awal. Dengan langkah pencegahan yang betul, anda boleh mengelakkan diri daripada mengalami kesakitan gigi bongsu.
1. Berus dan Flos Gigi dengan Konsisten
Menjaga kebersihan mulut secara menyeluruh adalah asas utama dalam mencegah pelbagai masalah pergigian, termasuk sakit gigi bongsu.
Gigi bongsu biasanya tumbuh di bahagian paling hujung mulut, menjadikannya sukar dicapai dengan berus biasa dan lebih mudah terperangkap dengan sisa makanan, bakteria, dan plak.
Jika tidak dibersihkan dengan baik, kawasan ini akan menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan keradangan, jangkitan, dan kaviti.
Apa yang boleh dilakukan:
- Gunakan berus gigi yang kecil atau berleher fleksibel untuk mencapai kawasan belakang rahang dengan lebih mudah.
- Flos di antara semua gigi, termasuk gigi belakang, sekurang-kurangnya sekali sehari untuk mengeluarkan sisa makanan yang tidak dicapai berus.
- Pertimbangkan untuk menggunakan alat tambahan seperti interdental brush atau water flosser untuk hasil yang lebih menyeluruh, terutamanya jika anda memakai pendakap gigi atau mempunyai kedudukan gigi yang rapat.
2. Lakukan Pemeriksaan Gigi Secara Berkala


Ramai hanya berjumpa doktor gigi apabila mengalami sakit, sedangkan pemeriksaan awal dapat mengesan masalah sebelum ia menjadi serius.
Dengan melakukan pemeriksaan berkala, doktor gigi boleh menilai arah pertumbuhan gigi bongsu, melihat sama ada terdapat risiko impaksi (tersekat), serta mengenal pasti tanda awal keradangan atau jangkitan.
Cadangan:
- Lawati doktor gigi setiap 6 bulan sekali walaupun anda tidak mengalami simptom.
- Jika anda sudah mula rasa tekanan, sengal, atau sakit di bahagian hujung rahang, dapatkan pemeriksaan segera untuk elakkan komplikasi lanjut.
- X-ray mungkin disarankan untuk melihat kedudukan gigi bongsu yang belum tumbuh sepenuhnya.
3. Awasi Simptom Awal yang Mencurigakan
Kesakitan akibat gigi bongsu selalunya tidak berlaku serta-merta, tetapi bermula secara perlahan dan bertambah teruk dari masa ke masa. Jika anda peka terhadap perubahan kecil, anda boleh mendapatkan rawatan awal dan mengelakkan jangkitan yang lebih serius seperti pericoronitis, abses, atau pembentukan sista.
Perhatikan tanda-tanda berikut:
- Rasa sengal atau tekanan di hujung rahang belakang
- Bengkak atau kemerahan pada tisu gusi di sekitar gigi bongsu
- Sukar membuka mulut dengan luas, terutamanya sebelah tertentu
- Mulut berbau walaupun selepas memberus, disebabkan jangkitan tersembunyi
Sekiranya anda mengalami mana-mana tanda di atas, segeralah berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan lanjut. Tindakan awal boleh menjimatkan masa, kos, dan kesakitan yang tidak perlu.
Mahu Cara Lebih Berkesan Cegah Sakit Gigi Bongsu? Baca artikel kami tentang scaling untuk ketahui bagaimana prosedur ini membantu mengekalkan kesihatan gusi dan mulut anda secara keseluruhan.
Kelegaan Bebas Sakit Gigi Bermula Di Sini!
Sakit gigi bongsu boleh mengganggu tidur, selera makan, dan rutin harian. Tetapi anda tidak perlu menghadapinya seorang diri.
Jika anda sedang mengalami simptom seperti bengkak, sakit mencucuk, atau sukar membuka mulut, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk
Di Klinik Pergigian Yeo, kami menyediakan rawatan profesional yang selesa dan menyeluruh — daripada pemeriksaan, pembersihan, hinggalah ke cabutan gigi bongsu jika diperlukan
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pergigian, pasukan kami komited untuk membantu anda kembali selesa, bebas sakit, dan yakin dengan senyuman anda. Hubungi Klinik Pergigian Yeo hari ini untuk menempah temujanji anda, dan mulakan langkah pertama ke arah kesihatan mulut yang lebih baik.
Soalan Lazim
Bolehkah Gigi Bongsu yang Sakit Sembuh Sendiri?
Kesakitan ringan mungkin reda buat sementara, tetapi jika berpunca daripada impaksi, jangkitan, atau ruang sempit, ia tidak akan sembuh sepenuhnya tanpa rawatan. Menangguhkan rawatan boleh meningkatkan risiko komplikasi seperti cyst atau kerosakan gigi lain.
Adakah Kesakitan Gigi Bongsu Berbahaya dan Menjejaskan Bahagian Badan Lain?
Ya, jika dibiarkan, jangkitan dari gigi bongsu boleh merebak ke tisu sekeliling, sinus, malah ke leher atau aliran darah dalam kes jarang berlaku. Disebabkan itu, rawatan awal sangat penting untuk elak risiko kesihatan lebih besar.
Berapa Anggaran Harga Cabut Gigi Bongsu di Klinik Gigi?
Kos cabutan gigi bongsu bergantung kepada tahap kesukaran dan sama ada ia memerlukan pembedahan kecil. Di Malaysia, harganya boleh bermula sekitar RM150 hingga RM1,000 atau lebih untuk kes yang kompleks. Sebaiknya rujuk doktor gigi untuk anggaran yang lebih tepat berdasarkan keadaan anda.
Apakah Prosedur Mencabut Gigi Bongsu?
Prosedur mencabut gigi bongsu bergantung kepada kedudukan dan keadaan gigi tersebut — sama ada ia sudah tumbuh sepenuhnya atau masih tertanam (terimpak) di dalam gusi atau tulang rahang.
Berikut ialah langkah umum yang biasanya diambil oleh doktor gigi atau pakar bedah mulut:
- Pemeriksaan Awal & X-ray: Doktor akan melakukan pemeriksaan klinikal dan mengambil sinar-X untuk melihat kedudukan gigi bongsu dan tahap kesukaran cabutan.
- Bius Tempatan: Kawasan sekeliling gigi akan dibius supaya pesakit tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Dalam kes tertentu, bius am mungkin digunakan.
- Cabutan Biasa (gigi tumbuh penuh) atau Pembedahan (gigi terimpak atau tersembunyi)
- Menjahit Luka: Selepas cabutan, doktor mungkin akan menjahit kawasan pembedahan untuk mempercepatkan penyembuhan.
- Pemulihan dan Penjagaan Selepas Cabutan: Anda akan diberikan arahan penjagaan selepas rawatan, ubat tahan sakit, dan dalam sesetengah kes, antibiotik.
Adakah gigi bongsu boleh menyebabkan sakit kepala?
Ya, gigi bongsu boleh menjadi punca sakit kepala, terutama jika ia tumbuh secara tidak sempurna atau menyebabkan keradangan dan tekanan pada rahang.
Gigi bongsu yang tumbuh senget atau terimpak boleh menekan saraf dan menyebabkan ketegangan pada otot rahang (TMJ), yang boleh merebak ke kawasan kepala. Selain itu, jangkitan di sekitar gigi bongsu juga boleh mencetuskan sakit kepala, demam, atau rasa tidak selesa di muka.